Photobucket

Ruangan Penyelesaian Masalah

Wednesday, July 8, 2009

Mengingatkan apa yang terlupa...



Fitrah manusia mudah lupa. Malah perkataan insan itu sendiri berasal dari perkataan nasia yang bermaksud lupa. Atas sebab itulah manusia memerlukan kepada tazkirah dan nasihat yang tujuannya untuk ingat-mengingatkan sesama manusia apa yang mereka lupa. Ingat-mengingati dan nasihat-menasihati diumpamakan sebagai hadiah yang diberikan kepada orang yang dikasihi sebagai tanda sayang.

Perlu diingat di sini, kesalahan dan kesilapan dilakukan disebabkan beberapa faktor. Antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya hal ini ialah kerana sifat manusia yang mudah lupa disertai dengan dorongan nafsu dan godaan syaitan serta kekurangan ilmu. Justeru itu, Islam menganjurkan setiap penganutnya mengamalkan sikap saling menasihati dan tegur-menegur sesama manusia untuk mengingatkan manusia apa yang mereka lupa. Ingatan takkan kekal, ia hanya mampu bertahan dalam tempoh yang singkat dan kemudian akan dilupai jika tidak diingatkan. Seorang pengerusi majlis tidak akan berucap tanpa menyediakan bahan ucapannya terlebih dahulu kerana dia tahu dia pasti lupa. Seorang penceramah tidak akan menyampaikan ceramah tanpa mempunyai bahan atau catatan kerana dia tahu dia pasti lupa. Seorang guru tidak akan mengajar tanpa membawa sebarang bahan pengajaran kerana dia tahu dia pasti lupa. Seorang hafiz tidak akan dapat mengingat hafalannya tanpa mengulang apa yang dihafal kerana dia pasti lupa. Hal ini menunjukkan betapa manusia itu lemah dan memerlukan sesuatu yang lain untuk mengingatkan mereka apa yang mereka mungkin lupa.

Manusia sering terlupa kepada mati. Manusia sering terlupa yang masa sedang berlalu. Manusia sering terlupa yang dunia hanya persinggahan semata. Manusia sering terlupa janji Allah kepada hambaNya di akhirat kelak. Manusia sering lupa yang kenikmatan dunia ini adalah pinjaman Allah swt semata. Manusia sering lupa kewajipannya sebagai hamba Allah swt. Manusia sering juga terlupa yang fitrahnya adalah pelupa hinggakan mereka tidak berusaha untuk mengingati apa yang mungkin mereka terlupa. Kita sebagai manusia, adakah kita juga begitu? Melupakan sesuatu yang tidak sepatutnya dilupakan?

Memang manusia fitrahnya pelupa. Tetapi, itu tak bermakna manusia harus terus biarkan diri mereka melupakan sesuatu yang tak sewajarnya dilupakan. Kita perlu punya inisiatif untuk mengingatkan diri apa yang kita mungkin lupa serta menguatkan ingatan terhadap apa yang mesti diingati setiap masa. Kita perlu mengingatkan diri kita sendiri serta orang di sekeliling kita.


Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik r.a pembantu Rasulullah s.a.w katanya: bersabda Rasulullah saw: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri”
(HR Bukhari dan Muslim).


Orang yang beriman akan menyayangi saudara seakidahnya dan takkan sesekali membiarkan saudaranya ia terus dibuai kenikmatan dunia sehingga melupakan perkara yang tak sepatutnya dilupakan. Jika benar kita sayang, lakukanlah sesuatu pada diri kita sendiri dan pada masyarakat sekeliling kita bagi memastikan ingatan kepada perkara yang harus diingati kekal subur di minda dan di hati. Untuk diri sendiri, hadirilah majlis ilmu, banyakkan berzikir, membaca dan menghayati al-Quran, semoga dengan ini, kita akan terus ingat kepada kematian, ingat kepada azab kubur, ingat kepada hari akhirat, dan ingat kepada Allah swt setiap masa dan ketika. Untuk saudara-saudara kita pula, berilah nasihat dan peringatan kepada mereka. Semoga nilai saling menasihati ini dapat mengingatkan kita kepada Maha Pencipta dan menjadi hamba yang bertakwa serta mendapat balasan yang baik di akhirat kelak. Bersama-samalah kita bermuhasabah dan memperbaiki diri agar kita tidak terpesong dari jalan kebenaran dan sentiasa diberkati Allah swt.


"Dan tetaplah memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman"
(Adz Dzaariyaat : 51)





1 comment: